Sunday, 7 June 2015

Alhamdullilah....Buah Tin Sudah Mula Masak

Alhamdullilah….syukur ke hadrat ilahi, cikgu dan anak-anak di sini dapat menikmati buah tin sulung yang masak dari variasi IBT Improved Brown Turkey. Pokok Tin dari variasi Sal Carleon juga sudah mula masak. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata rasanya. Terbalas rasanya setiap penat lelah dan keringat yang diuasahakan selama ini. Melihat buah-buah tin ini mula bertukar warna sangat menggembirakan cikgu serta anak-anak disini. Semoga pokok-pokok tin yang ditanam oleh anak-anak Pendidikan Khas ini akan hidup dengan lebih subur dan mengeluarkan hasil yang lebih banyak lagi. 

In shaa allah dengan izinnya cikgu akan memasarkan anak pokok tin di masa hadapan agar kita sama-sama dapat menikmati keenakkannya. 

Di sini cikgu kongsikan beberapa khasiat memakan buah tin :


1. Menjaga tekanan darah tinggi dan serangan jantung koronari.
2. Buah tin efektif untuk program penurunan berat badan.
3. Rebusan daun pohon tin bantu pesakit diabetes mengurangi jumlah asupan insulin.
4. Bantu mengurangi risiko kanser payudara dan kanser prostate.
5. Nyenyakkan tidur dengan menyingkirkan insomnia.
6. Makan buah tin kurangkan kelelahan, meningkatkan daya memori otak dan mencegah anemia.
7. Bantu kurangkan kolesterol darah.
8. Terap pada kulit tin yang dipanggang dapat sembuhkan radang seperti abses dan bisul.
9. Buah tin yang ditumbuk membersih kulit serta cegah dan sembuhkan jerawat.
10. Buah tin kaya dengan kalsium sebagai terapi pengubatan mereka yang alergi terhadap produk susu.
11. Zat anti-tumor serta dapat membunuh Micro-organisme Pathogen, Jamur dan Virus dalam tubuh manusia.



Buah Sulung dari variasi IBT Improved Brown Turkey


Pokok Tin dari variasi Sal Corleona

Ini adalah antara dua variasi pokok tin daripada 30 variasi yang di tanam di Sek. Keb Seri Besout, Sungkai

Wednesday, 3 June 2015

Pokok Tin Semakin Subur

Assalamualaikum Semua
 
Hari ini sudah hampir 5 bulan kami menjalankan projek tanaman tin . Alhamdulillah pokok tin sudah ada yang berbuah dan pohonnya semakin meninggi.
 
Pada waktu ini cikgu masih lagi berusaha untuk mendapatkan sumbangan dari pihak -pihak yang bermurah hati membantu dalam projek kami ini.
Cikgu ada juga memohon bantuan dari Jabatan Pertanian. Namun memandangkan tanaman tin ini masih lagi baru, mereka belum ada kepakaran dan anak benih. Semua ilmu dan stok anak pokok  ( 100 % ) cikgu dapat dari group facebook  ( Pokok Tin Malaysia ).
 
Anak - anak pendidikan khas bertuah menerima sumbangan ini. Syukur Alhamdulillah..




Pokok - pokok tin semakin membesar dan berbuah
 
Inilah penyokong kuat projek kami. Guru Besar SK Seri Besout ( En. Abas Bin Saman ). Tn Guru Besar bergambar dengan salah satu pohon tin yang sedang berbuah.
 
Ini sahaja yang dapat cikgu kongsikan buat kali ini. InshaAllah jika ada perkembangan terbaru cikgu akan kongsikan bersama ya.
 
 
 
 

Dari 5 Pokok Kepada 30 Pokok


Assalamualaikum semua!

Alhamdulillah pokok tin semakin bertambah bilangannya dan anak -  anak pendidikan khas juga teruja untuk melakukan aktiviti ini bersama. Mengimbas kembali pada permulaanya, cikgu hanya beli 5 pokok sahaja yang bernilai RM 500.00. Dengan adanya 5 pokok pada permulaannya, masakan layak untuk cikgu namakan ia sebagai suatu projek. Namun cikgu berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk untuk  menambahkan pokok tin ini.
Memandangkan cikgu mengikuti laman facebook  ( Group  Pokok Tin Malaysia ) tergerak hati cikgu untuk  berkongsi post di group tin  Malaysia tersebut. Kemudian, bermula dari itulah ramai  dermawan dan pakar – pakar pokok tin yang sudi menyumbang pokok, baja, duit dan khidmat nasihat kepada cikgu. Apabila tiba waktu gaji, cikgu akan membeli sepokok dua untuk menambahkan bilangan tanaman pokok tin ini sehingga pada hari ini ia berjumlah sebanyak 30 pokok yang terdiri daripada berbagai jenis dan negara seperti Spain, Turkey, Jordan dan Jepun.
Pada peringkat awal penanaman pokok tin ini ada juga cabarannya. Ini kerana cikgu masih belum mahir dalam proses menjaga dan memahami tabiat pokok tin. Cikgu pun sejujurnya memang belajar melalui internet sahaja ( dapatkan maklumat di laman laman berkaitan pokok tin, you tube )  tanpa secara praktikal dan melihat secara realiti.
Ada juga rakan – rakan  yang menyindir dan memerli  dengan memandang rendah usaha cikgu untuk menanam pokok tin dan mengatakan tanaman pokok tin tidak sesuai di Malaysia. Apapun pandangan mereka cikgu berlapang dada dan mengambil ianya sebagai suatu yang positif untuk lebih maju. Setiap hari cikgu berdoa kepada Allah agar projek ini dapat disempurnakan dengan 30 pokok dan bersistem dan semoga Allah permudahkan penanaman pokok syurga ( pokok tin )  untuk anak – anak syurga @ OKU kami.
Guru Besar dan pentadbir sekolah bersama anak - anak pendidikan khas menerima beberapa pokok tin sumbangan rakan facebook ( Pokok Tin Malaysia )

Menerima sumbangan Baja dari syarikat Rintis Agrotrade. Mereka mengetahui projek kami melalui post kami di facebook dan berminat menaja baja kepada kami. Rintis Agrotrade menjadikan kami sebagai anak angkat untuk projek ini. Alhamdulillah :)

Menerima sumbangan ahli group dari Kedah dan Kuala Kangsar
Lebih menggembirakan cikgu apabila dua orang pakar dalam penanaman pokok tin sudi meluangkan masa melawat dan memberi tunjuk ajar. Alhamdulillah cikgu bersyukur kerana Allah menggerakkan hati – hati mereka untuk sama membantu  projek tanaman tin . Jika disebutkan  nama satu persatu tidak cukup ruang rasanya.  Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian .
Pakar pokok tin dari Melaka memberi sumbangan pokok tin dan tunjuk ajar. Beliau mempunyai ladang pokok tin dan 400 jenis pokok dari serata dunia.
 Cikgu sungguh kagum dengan pencapaian beliau. Cikgu juga berharap semoga projek tin kami ini juga dapat diperluaskan dalam jangka masa panjang. InshaAllah

 Pada 26 Mei 2015, kami menerima kunjungan admin facebook Pokok Tin Malaysia
https://www.facebook.com/groups/PTFGM/ iaitu Profesor Faizal dan bersama dengan penaja baja kami En. Izwan dari Rintis Agrotrade.
 Pakar mengajar kami cara - cara mengetut pokok tin. InshaAllah anak -anak pokok nanti boleh dijual kepada penduduk setempat.
Menerima sumbangan baja kedua dari Rintis Agrotrade yang bernilai lebih RM1000. Dengan sumbangan ini lah pokok - pokok tin kami hidup subur dan membesar dengan baik.


Tuesday, 2 June 2015

Pemasangan Rumah Hijau & Penanaman Pokok Tin


Assalamualaikum Semua!

Pada Disember 2014, kerja – kerja pemasangan rumah hijau telah dimulakan. Memandangkan cikgu masih baru dalam tanaman ini, adalah lebih baik untuk cikgu memasang rumah hijau ini. Tambahan pula ianya dapat memudahkan anak – anak kami untuk turut sama dalam proses pembelajaran mereka ( Kemahiran Hidup : Perkebunan ) dan terlindung dari panas matahari yang terik.
Tanaman tin ini sungguh manja dan perlukan penjagaan yang rapi. Oleh itu dengan pemasangan rumah hijau ini dapat melindungi  tanaman dari hujan dan angin yang kuat. Selain itu juga, ia dapat melindungi dari haiwan perosak samaada kecil atau pun besar . Cikgu juga menggunakan sistem aliran air ke tanaman secara automatik.

Kerja - kerja pemasangan rumah hijau pada Disember 2014


Pemasangan sistem fertigasi. Siraman air secara automatik
Cikgu order online sahaja  di farmeniaga.com

Anak - Anak pendidikan khas menyediakan medium tanah

Anak - Anak pendidikan khas menanam pokok tin





Terima Kasih Akhbar Felda 1 Suara






PELAJAR PENDIDIKAN KHAS TANAM POKOK TIN

SUNGKAI - Seramai 10 pelajar Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Sri Besout, Perak telah mengusahakan tanaman pokok tin sejak November lalu dengan sokongan Unit Pendidikan Khas dan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang.
                Tin (Ficus carica) merupakan sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Barat dan buahnya sangat berkhasiat. Buah tin juga terkenal dalam dunia Islam dan merupakan salah satu buah kesukaan Rasullullah S.A.W.
                Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hasmaniza Miran, sekolah itu merupakan satu-satunya sekolah yang mengusahakan tanaman pokok tin di Malaysia.
                “Aktiviti menanam pokok tin ini merupakan proses pembelajaran yang amat berkesan untuk murid-murid,” katanya.
                Program penanaman pokok tin ini juga,katanya secara tidak langsung dapat mendedahkan tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar kepada para pelajar.
                Tambah Hasmaniza, pokok tin merupakan sejenis pokok yang manja dan memerlukan kos yang tinggi bagi mengusahakannya namun dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, ia mampu hidup dengan subur dan mengeluarkan hasil.
                Katanya projek tersebut telah dikendalikan oleh Penyelaras Pendidikan Khas, Ismail Mohd Zin di tapak kosong sekolah yang berkeluasan 400 kaki persegi.
                Program ini juga turut disokong oleh Guru Besar, Abas Saman dan Yang Di Pertua PIBG, Suliman Anang.


PETIKAN DARI AKHBAR 1 SUARA


ISU 85 : 15 MEI – 31 MEI 2015

Sekolah Pertama Di Malaysia Menanam Pokok Tin


Assalamualaikum semua!

Disini cikgu ingin bercerita pengalaman cikgu dalam menjalankan projek tanaman pokok tin .
Untuk makluman semua, sudah menjadi kewajipan setiap program Pendidikan Khas  Integrasi ( PPKI ) di seluruh negara mempunyai kebun tanaman kerana kami ada subjek kemahiran hidup perkebunan. Selama ini  kami dah biasa tanam jagung, nenas dan pelbagai sayuran lain. Bila sudah biasa dengan tanaman tersebut, cikgu mula mencari idea untuk menanam jenis tanaman yang lain. Bercerita bagaimana cikgu dapat idea untuk tanam pokok tin ini adalah kerana gerak hati cikgu. Sebelum ini cikgu banyak mengikuti laman blog dan facebook yang memberi sumber informasi mengenai tanaman pokok tin ini. Walaupun tahu kos dan cara penjagaan untuk tanaman tin ini adalah tinggi, tetapi jauh di sudut hati , cikgu tekad untuk memulakan tanaman pokok tin ini. Hampir setahun juga cikgu mengambil masa untuk memahami, membaca dan bertanya pakar – pakar dan baru lah cikgu berani memulakan projek ini.
Semua ini cikgu lakukan demi anak – anak istimewa kami. Semoga Allah mempermudahkan usaha ini.
Terima Kasih kepada pembaca semua yang sudi berkunjung dan membaca  perkongsian dari cikgu



Bermula dengan 5 pokok tanpa rumah hijau pada November 2014
 

 

Thursday, 28 May 2015

Surah AT Tin

Surah At Tin 

Terjemahannya;

1. Demi buah Tin dan Zaitun,
2. Dan Gunung Tursina,
3. Serta negeri (Makkah) yang aman ini, -
4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya ( dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
5. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami  kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,
6. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
7. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu?
8. Bukankah Allah ( yang demikian kekuasaanNya ) seadi - adil hakim ?
 


Selain dari kurma yang telah diketahui umum akan khasiat dan hikmah memakannya, buah tin juga sangat bermanfaat kepada umat manusia seperti yang diterangkan dalam surah At-Tin (surah ke 95 dalam Al-Quran) dimana Allah telah bersumpah di atas nama buah tin dan buah zaitun. Apakah keistimewaan buah tin dan buah zaitun ini sehinggakan Allah bersumpah diatasnya?

 

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin, lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda “Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia kerana buah-buahan syurga tidak berbiji ". Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”